Rabu, Mei 26, 2010

Meredakan kegelisahan


Pada suatu masa, seorang lelaki mendatangi sahabat nabi yang bernama Abdullah Bin Masud dan berkata , "Wahai ibn Masud, nasihatilah aku dengan sesuatu yang dapat meredakan kegelisahanku. Buat masa ini, jiwaku tidak tenteram, fikiranku kusut, tidurku tidak nyenyak dan seleraku hilang." Abdullah bin Masud menjawab, "Bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat.

Pertama , ke tempat orang membaca Quran tidak kira sama ada kamu mengikut membacanya ataupun kamu sekadar mendengar bacaan orang lain.

Kedua, kamu menghadiri majlis pengajian yang mengingatkan kamu kepada Allah, dan

Ketiga , kamu mencari satu waktu yang sunyi, contohnya pada waktu malam. Pada masa itu, kamu bangun melaksanakan ibadah kepada Allah serta memohon kepadanya supaya diberikan ketenangan dan kedamaian hatimu. Jika selepas melakukan kesemua ini jiwamu masih belum tenteram, mintalah kepada Allah agar digantikan hatimu dengan yang lain kerana hati yang kamu miliki sekarang bukannya hatimu."

Lelaki itu pun kembali ke rumahnya dan terus mengambil wuduk dan membaca Quran dengan penuh khusyuk seperti yang dinasihatkan Abdullah Bin Masud. Selesai membaca Quran, didapati jiwanya tenang, fikirannya jernih dan kegelisahan yang melanda hilang sama sekali.. Kita hayati firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 153
" Wahai mereka yang beriman, mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Allah bersama-sama dengan orang yang sabar."

Tiada ulasan: